Assalamualaikum wbt.

Syukur ke hadrat Allah swt kerana dengan limpahan kasih sayangNya kita diberi keluasan rezeki sehingga membolehkan kita menunaikan Umrah di tanah suci dan menziarahi Makam Nabi di Madinah. Ketika menjadi Tetamu Allah semestinya perasaan untuk tekun melakukan amal ibadah melebihi dari kebiasaan. Kekadang rasa pelik, semasa di tanah air kita amat malas untuk melakukan amalan-amalan sunat, hanya yang wajib sahaja dilakukan. Itu pun ada kalanya dengan rasa berat hati bagi mereka yang lemah imannya. Berbeza semasa berada di tanah suci. Asal masuk sahaja ke Masjid tidak kira di Makkah atau Madinah kita terus melakukan Solat Sunat.

Semangat berkobar-kobar untuk menambahkan amalan sememangnya satu sikap yang terpuji. Dan amat lebih baik lagi kita kekal “istiqomah” dalam ibadah atau bahasa mudahnya “konsisten”. Jangan hanya di tanah suci sahaja, balik ke tanah air kita kembali kepada asal. Sebagai Tetamu Allah sewajarnya kita mendalami ilmu agama dengan tekun supaya kita arif mengenai hukum hakam dalam agama.

Ibadah mana yang perlu diutamakan atau diberi “prioriti” berbanding dengan ibadah yang lain. Jangan sampai amalan kita menjadi sia-sia lantaran jahil mengenai sesuatu hukum. Asal selesai sahaja solat fardhu berjemaah terus dilakukan solat sunat. Sedangkan ada masanya haram untuk kita melakukan solat sunat tanpa sebab yang membolehkan. “Hentam sahaja, asal solat” kerana mengharapkan pahala yang banyak. Masih ada di kalangan jemaah yang melakukan solat sunat selepas solat Asar di Masjid Nabawi.

Semasa di Makkah, ramai di kalangan jemaah yang membanyakkan amalan Umrah Sunat. Malah ada yang menganggap Umrah Sunat yang dilakukan sebanyak 7 kali menyamai pahala Haji. Walhal tidak ada nas al-Quran, hadis mahupun ijmak Ulamak yang menyatakan sedemikian. Pernah seorang jemaah mengumumkan di Dewan Makan, “malam ini saya jamu semua jemaah dengan Jamuan Makan kerana telah selesai menyempurnakan Umrah Sunat sebanyak 7 kali”. Begitu yakin jemaah ini dengan sangkaannya. Walhal dibimbangi ibadah yang dilakukan jika di war-warkan akan menyebabkan sipelaku menjadi riak. Amalan yang ditunjukkan dengan mengharapkan pujian orang, sia-sia sahajalah jawabnya. Kasihan.

Tawaf

Sebenarnya amalan yang paling afdhal semasa di Tanah Haram ialah memperbanyakkan Tawaf Sunat dan bukannya memperbanyakkan Umrah Sunat. Mengapa kita bertawaf ? Sila rujuk kepada entry terdahulu di bawah tajukĀ  Sejarah Makkah dan Sejarah Tawaf.

Dan mengapa amalan Tawaf ini lebih baik berbanding dengan amalan-amalan lain di Tanah Haram ?

Saya teringat ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Dato Hj Kamal Mohamad, mantan Konsul Haji di Jeddah dan juga Pengurus Haji Swasta beberapa waktu dahulu. Katanya Tawaf itu Sunatullah. Semua makhluk Allah yang melata di bumi hatta di langit sekalipun bertawaf sebagai menunjukkan ketaatan mereka patuh kepada Allah. Bintang-bintang di langit, planet-planet yang berada di angkasa lepas semuanya berpusing ikut lawan jam mengelilingi matahari mengikut paksinya. Malah zarah sekecil atom turut sama berpusing mengikut aturan Allah. Jika semua makhluk Allah bertawaf sebagai menunjukkan kepatuhan mereka beribadah kepada Allah, maka sebagai manusia yang dikurniakan Allah dengan banyak kelebihan sewajarnyalah memperbanyakkan Tawaf sebagai tanda kita taat dan patuh kepada Allah yang Esa.

Ibnu Abbas r.a mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda ” Sesungguhnya setiap hari Allah menurunkan 120 rahmat kepada Baitullah ini. 60 rahmat untuk orang yang bertawaf, 40 rahmat untuk orang yang mengerjakan solat dan 20 rahmat untuk orang yang memandang Baitullah”.

Anas bin Malik pula mengatakan Rasulullah s.a.w bersabda ” 2 jenis tawaf di mana apabila seorang hamba Allah dapat melakukannya, niscaya seluruh dosanya akan diampuni seperti ketika ia dilahirkan oleh ibunya. Dua jenis tawaf itu adalah tawaf setelah solat Subuh yang selesai bersamaan dengan terbitnya matahari dan tawaf setelah solat Asar yang selesai bersamaan dengan terbenamnya matahari.” Kerana itu jika perasan, pada 2 waktu inilah bilangan jemaah yang bertawaf bertambah berlipat kali ganda berbanding sebelumnya. Malah saya ada mendengar seorang Ustaz berceramah, pada waktu inilah berlakunya pertukaran shif Malaikat yang mencatit amalan kebaikan.

Ibnu Umar pula menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ” Barangsiapa melakukan Tawaf di Baitullah, maka Allah Azza Wa Jalla akan mencatat satu kebaikan dan menghapuskan satu keburukan bagi setiap langkahnya serta diangkat satu darjat untuknya.” AllahuAkbar. Berapa banyak langkah yang kita lakukan semasa kita sedang bertawaf ? Sebanyak itulah kebaikan pahala yang kita dapat dan sebanyak itulah juga dosa kita terampun.

Sebagai renungan, cuba kita perhatikan jemaah yang sedang bertawaf di sekeliling Kaabah. Ramai yang berpakaian biasa bertawaf Sunat atau berpakaian Ihram Umrah ? Jumpa lagi dan Wassalam.

37 Replies to “Amalan Yang Lebih Utama Semasa di Makkah”

  1. Bagi sya yg cetek ilmu ini, semua informasi dlm blog Tuan Haji amat bernilai. Sya mohon share untuk rujukan sya dan keluarga. terima kasih

  2. Assalamualaikum wbt.

    Syukur ke hadrat Allah swt kerana dengan limpahan kasih sayangNya saya di pertemukan dengan website Tuan Haji Iqbal ini. Semasa mula membaca artikel pertama (tak ingat artikel mana) hinggalah ke artikel ini, saya sangat tertarik dan teruja sekali. Di dalam artikel yg tuan Haji muatkan untuk bacaan umum, isi artikelnya sangat padat sekali dan sangat bermakna seperti dalam artikel ini, antara Umrah Sunat dan Tawaf Sunat yang mana lebih afdhal. Banyak lagi artikel yang tuan haji muatnaik di website ini sangat berguna dan berfaedah terutama dalam ibadat-ibadat berkaitan UMRAH bagi kepentingan dan pengetahuan saya dan muslimim sewaktu dengan saya yg tersangat cetek bidang agama apalagi hal umrah. Disini saya berani menyatakan bahawa Tuan Hj Iqbal bukan lah sebarangan orang terutama hal berkaitan umrah.Tinggi ILMU agamanya dan LUAS pula pengalamanya Pujian yg saya berikan ini bukan bermaksud apa-apa kerana saya tidakpun mengenali Tuan Haji apa lagi di pihak tuan haji yg tidak kenal saya. Pujian ini datang dari hati ikhlas saya apabila membaca beberapa artikel sebelum ini.
    Saya menulis komen ini bila saya melihat permintaan dari beberapa pembaca yg minta share dan dgn segera Tn Hj balas untuk izinkan, betapa luhurnya hatimu tn hj.
    Muga-muga tuan hj tidak perlu tunggu tambahan pencen kubur sahaja tetapi di dunia ni pun dah dapat pencen awalnya. Amin.
    Disini saya sebagai pembaca web tuan haji ini memohon IZIN untuk share informasi2 dari web tuan haji yang saya fikirkan perlu di kembangkan, saya juga berhajat ingin mendapatkan sebahagian pencen-pencen tersebut.

    Sekian, terima kasih.

    1. Pujian selayaknya untuk Allah dan Rasul..sebagai manusia biasa amat takut dengan pujian sebegini sungguhpun yg memuji ikhlas kerana Allah. Semoga Allah memberi saya ilham untuk terus mencurah apa sahaja yang ada demi untuk kebaikan kita dunia dan akhirat. Amat dialu-alukan jika ada yang nak share..tiada masalah

  3. Assalamualaikum, baru2 ini saya pergi kursus umrah dan ustaz ada mengatakan tiada waktu haram di masjidil haram untuk melakukan solat sunat, ini termasuklah waktu selepas asar.

    Waallahualualam, sekadar perkongsian.

  4. Alhamdulillah bertemu dgn blog Tn Hj. Banyak ilmu n kefahaman tentang amalan yang baik semasa mengerjakan umrah. Insyaallah saya berkongsi dan memanfaatkannya, Insyaallah.

  5. Alhamdulillah. Sangat berguna artikel Tuan Hj. Saya juga mohon share agar dapat dimanfaatkan kepada kawan2 yang akan ke Mekah. Semuga Allah membalas dengan sebaik2nya.

  6. assalamualaikum ustaz. Dalam waktu kita mengerjakan umrah selepas tahalul adakah kita masih boleh mengulangi semula niat mengerjakan umrah pada hari yang sama? kemudian di susuli dengan tawaf sunat dan sembahyang sunat tawaf..

    1. Waalaikum salam. Umrah boleh dikerjakan lebih dari sekali dalam satu hari jika berkemampuan. Syaratnya kena keluar dari Tanah Haram apabila mahu berniat Umrah untuk yang seterusnya..

  7. Alhamdulillah dapat maklumat dari posting Ustaz. Dapat menambal ilmu dan panduan semasa ditanah suci. Hanya Allah yang membalasnya. Mohon share Ustaz. Terima kasih

Leave a Reply