Assalamualaikum wbt.

Ada bakal jemaah yang meminta saya jelaskan lebih detail mengenai pakej ini dan meminta aturcara perjalanan bagi mendapatkan gambaran sebenarnya. Antara soalan yang sering ditanya ialah berapa hari dan tempat-tempat ziarah semasa di sana nanti. Bila pakej ini mula berlepas dan keperluan yang perlu disediakan. Bagi yang dah biasa menunaikan Umrah, mereka sudah sedia tahu tempat-tempat ziarah, tetapi untuk yang pertama kali mungkin masih kabur lagi.

Saya merancang tarikh berangkat pada 15hb Februari 2013. Tempoh perjalanan samada 13 hari 10 malam atau 12 hari 9 malam bergantung kepada jadual penerbangan. Transit di Bandar Sri Begawan Brunei.  Seorang Tour Leader atau Ketua Rombongan akan bersama-sama dengan jemaah.  Biasanya Tour Leader terdiri daripada ustaz yang ada wibawa di mata masyarakat.

Sebelum berlepas, jemaah dinasihatkan supaya sentiasa memakai Kad Nama Jemaah yang dibekalkan oleh Ajwa Travel. Kad nama ini tersangat penting untuk jemaah. Di sebelah Kad Nama Jemaah ada tertera nama-nama Petugas Ajwa Travel di Makkah dan Madinah beserta no handphone untuk dihubungi sekiranya ada masalah dan sebagainya. Di samping itu, jemaah juga dinasihat sentiasa membawa beg sandang Ajwa Travel di sepanjang tempoh perjalanan. Petugas Ajwa Travel di tanah suci hanya mengenal jemaah yang dijaga melalui pengenalan beg sandang Ajwa Travel.

Aturcara Perjalanan

Hari Pertama

jemaah dikehendaki berkumpul di Aras 5 Balai Berlepas KLIA kira-kira 3 jam sebelum waktu penerbangan. Petugas Ajwa Travel dan saya akan berada di KLIA untuk urusan daftar masuk. Jemaah dinasihatkan tidak membawa muatan yang berat (sebaiknya kurang dari 20kg) kerana dibimbangi semasa pulang nanti kena caj lebihan bagasi pula. Jemaah juga perlu membawa 1 beg (hand carry) untuk dibawa masuk ke kabin flight supaya ada pakaian persalinan semasa transit di Bandar Sri Begawan nanti. Bagasi yang besar akan kekal di airport Bandar Sri Begawan untuk dipindah ke flight seterusnya ke Jeddah. Sebaik tiba di Bandar Sri Begawan, jemaah hanya menunggu 2 jam sebelum meneruskan penerbangan ke Jeddah.

Sampai di Jeddah, selepas pemeriksaan Imigresen, jemaah akan dibawa menaiki bas berhawa dingin menuju ke Madinah. Perjalanan ke Madinah biasanya sekitar 6-7 jam.

 

Hotel di Madinah

Hari 2 dan 3 di Madinah

Ada 2 aktiviti utama di Madinah iaitu Ziarah Dalam dan juga Ziarah Luar. Waktu ziarah akan ditentukan oleh Tour Leader dan jemaah perlu peka dengan sebarang maklumat aktiviti yang akan dipamirkan di kawasan Dewan Makan Hotel Madinah.

Semasa di Madinah, Tour Leader akan menyampaikan taklimat program, ceramah atau kuliah bimbingan dan juga taklimat keberangkatan ke Makkah. Jemaah dinasihatkan supaya menghadiri setiap program ceramah atau taklimat yang disampaikan oleh Mutawwif. Kerap berlaku masalah disebabkan oleh sikap jemaah yang mengambil sikap sambil lewa dan tidak mendapat maklumat yang lengkap mengenai setiap program yang diatur.

Keterangan mengenai Ziarah Dalam dan Ziarah Luar Madinah ada pada entry saya sebelum ini.

Hari ke 4 – Madinah ke Makkah

Jemaah akan bergerak meninggalkan Madinah menuju ke Makkah pada sebelah pagi.  Sebelum bertolak,  jemaah dinasihatkan mandi sunat ihram dan berpakaian ihram terlebih dahulu. Jemaah akan singgah tempat Miqat iaitu di Bir Ali, kira-kira 10km dari Madinah untuk berniat ihram Umrah. Dalam perjalanan bas akan singgah di suatu tempat (R & R) untuk makan tengahari dan Solat Jamak.

Hotel di Makkah

Tiba di Makkah, jemaah akan mendaftar masuk di hotel penginapan dan diberi masa 1 jam untuk berehat sebentar dan membersihkan diri sebelum menuju ke Masjidil Haram. Jemaah dinasihatkan supaya menyimpan Kad Hotel untuk tujuan awasan, manalah tahu sekiranya tersesat ada panduan Kad Hotel untuk jalan pulang. Oleh kerana jemaah ke Masjidil Haram dengan menaiki bas hotel, maka Ajwa Travel akan meletakkan petugas Makkah yang akan menginap di hotel yang sama bersama jemaah. Ini bagi memudahkan jemaah merujuk kepada petugas berkenaan sekiranya perlukan bantuan dan sebagainya. Untuk makluman, bas hotel ulang-alik ke Masjidil Haram beroperasi 24 jam.

Jemaah akan selesai melaksanakan Umrah selepas waktu Isyak dan pulang ke hotel penginapan dengan menaiki bas hotel di tempat yang sama jemaah turun ketika mula sampai di Masjdil Haram. Sampai di hotel, jemaah akan makan malam di Dewan Makan hotel dan seterusnya beristirehat.

Hari ke 5 dan ke 11 di Makkah

Ada 2 aktiviti utama dijalankan semasa di Makkah iaitu Ziarah Manasek (ziarah wajib) dan ziarah tambahan di hari yang lain.  Waktu kedua-dua aktiviti ini akan dimaklumkan oleh Tour Leader/Mutawwif dan maklumat mengenainya juga akan dipamerkan di kawasan Dewan Makan Hotel. Aktiviti ceramah atau kuliah bimbingan dan taklimat juga akan dijalankan di Dewan Makan Hotel.

Maklumat mengenai kedua-dua program Ziarah iaitu  Ziarah Manasek Haji dan Ziarah Tambahan ada pada entry saya sebelum ini.

Semasa berada di Makkah, jemaah yang berminat untuk aktiviti memanjat Jabal Nur (Gua Hira’) boleh juga memaklumkan kepada Mutawwif. Aktiviti ini menuntut kekuatan fizikal jemaah. Jika rasa tak mampu, jemaah tidak digalakkan ikut serta dibimbangi akan mendatangkan kemudaratan pula nanti.  Sebaiknya jemaah membawa kasut dan pakaian yang sesuai untuk aktiviti mendaki ini.

Bagi jemaah yang berminat untuk diadakan Lawatan ke Jeddah, boleh maklumkan kepada Tour Leader. Sekiranya ramai yang ingin menyertai boleh diadakan program ini dengan dikenakan sedikit caj tambahan, sekitar SR50-SR80 seorang di sana. Program ini atas permintaan sahaja dan tiada dalam aktiviti program yang dijanjikan kepada jemaah.

Hari ke 11 atau 12, Makkah ke Jeddah dan Bandar Sri Begawan

Selepas menyempurnakan Tawaf Wada’, jemaah terus dibawa ke airport Jeddah untuk penerbangan pulang dan transit sebentar di Bandar Sri Begawan sebelum sampai ke KLIA. Jemaah dinasihatkan supaya berhati-hati dengan berat bagasi. Sebaiknya jangan melebehi 30kg seorang. 

Kepada yang berminat, sebaiknya hantar nama-nama jemaah dahulu bagi memudahkan kami untuk membuat tempahan tiket penerbangan. Di samping itu bakal jemaah perlu menyerahkan beberapa dokumen untuk tujuan pemprosesan visa. Antaranya pasport antarabangsa yang tempoh sah laku mesti melebihi 6 bulan dari tarikh berlepas, gambar size 6cm x 4cm berlatar belakang putih (biasanya kedai gambar arif mengenai size gambar untuk visa umrah). Jemaah juga perlu membuat suntikan meninggistis ACYW135 yang boleh dibuat di klinik2 swasta. Untuk isteri yang ingin ikut sama perlu disertakan salinan sijil nikah. Manakala untuk anak-anak perlu disertakan salinan sijil lahir.

Jumpa lagi dan Wassalam.

10 Replies to “Aturcara Pakej Umrah Super Ekonomi 2013”

  1. Assalamualaikum, Mohon mendapatkan penjelasan Syarikat ini dimana alamatnya, saya bercadang untuk mengerjakan umrah ahun 2013
    Mohon berikan senarai pakej umrah yang ada. Sekian terima kasih

    1. alamat pejabat di Lot 304, Tingkat 3, Bangunan Lembaga Tabung Haji Klang. Saya set 3 standard pakej ialah Umrah Idaman 1, Idaman 2 dan Pakej Super Ekonomi. Maklumat mengenainya ada dalam tulisan saya di blog.

  2. Assalamualaikum
    Jarak hotel di Madinah dan Makkah dari masjid berapa jauh untuk pakej Super Ekonomi?
    Pakej Super Ekonomi ada untuk bulan April 2013?

    Terima kasih

  3. Assalamualaikum
    nak tahu bagimana ada jemaah yang mengalami penyakit kronik umpamanya sakit buah pinggang yang memerlukan rawatan di Mekah dan Madinah…. setahu saya ada rakan saya yang sakit berkenaan dapat menjalani rawatan dialisis di Mekah dan Madinah dengan percuma…. cuma kena bawa surat dari Doktor Pakar Nefrologi sahaja….mohon penjelasan..

    1. Semasa musim Haji jemaah yang dialisis tidak dibenarkan menunaikan Haji kerana ditakrifkan tidak berkemampuan. Tambahan pula sudah ada penjanjian antara negara yang tidak membenarkan jemaah dialisis pergi menunaikan Haji.
      Untuk tujuan Umrah juga, sungguhpun boleh dibawa tetapi berdasarkan pengalaman menguruskan jemaah sebegini tambah rumit berbanding menguruskan jemaah biasa. Walaupun surat pengesahan doktor dibawa bersama tetapi untuk mendapatkan temujanji rawatan dialisis bukan suatu kerja yang mudah. Ada kalanya terpaksa pergi ke beberapa buah hospital kerana kesukaran mendapatkan temujanji rawatan.

  4. Jika saya dah beli tiket penerbangan ke Jeddah boleh ke saya jin pakej umrah bermula d Jedaah atau Mekkah. Kos untuk urusan visa hotel dan bas berapa ?

Leave a Reply