Assalamualaikum wbt…sambung cerita mengenai Padang dan Bukit Tinggi.

Selepas bersarapan pagi di hotel penginapan, kami dibawa menempuh perjalanan yang panjang. Dari pagi hingga ke petang, kami bergerak menaiki bas menyusuri laluan jalan raya yang merentasi 2 pergunungan. Memang menakjubkan pemandangan di sepanjang perjalanan kami. Panorama indah Banjaran Ngarai Sianok, tiba-tiba teringat nyanyian penyanyi Zainal Abidin ” kulihat hijau…”

Lokasi pertama yang disinggahi ialah di Rumah Hajah Rosma, seorang pengusaha terkenal Sulaman Pakaian Busana Muslim dan Telekung Sulaman serta pembuatan songket. Kabarnya Kerajaan Trengganu atau Kelantan ada menghantar beberapa orang untuk belajar teknik sulaman dan songket di sini. Rumah-rumah masyarakat Minang kelihatan agak mewah berbanding di tempat-tempat lain di Indonesia.  Cuma yang janggalnya, kebanyakkan masyarakat Minang Muslim di sini membela anjing. Anjing-anjingnya pula kelihatan bersih dan jinak dan mereka beritahu anjing-anjing ini tinggal diluar rumah bukan di dalam rumah. Dan saya pula memang takut dengan anjing.

Selepas itu, kami meneruskan perjalanan melalui jalan raya yang sempit dan banyak selekoh. Memang tabik kepada pemandu bas yang cekap memandu, kekadang tu ada selekoh yang mengerikan dan curam pula, al-maklum kawasan tanah tinggi. Nak minta pemandu bas berhenti untuk mengambil pemandangan juga amat sukar kerana jalan rayanya memang sempit dan tiada ruang untuk parking bas.

Dalam perjalanan menikmati alam semulajadi Ngarai Sianok, kami singgah sebentar di Tabek Patah, iaitu tempat Pemprosesan Pisang Salai dan kopi segar tradisional yang begitu terkenal di sini. Lega seketika setelah menempuh perjalanan yang lama dalam bas. Ramai yang kesejukan dan ingin melepaskan hajat kecil mereka. Di sini kami lihat sendiri cara-cara industri Pemprosesan Pisang Salai yang dilakukan oleh beberapa pekerja kampong. Dan yang bestnya kami merasai sendiri Pisang Salai yang panas-panas sambil menikmati kesegaran kopi asli tradisional. Fuh..enaknya, terbaik dari ladang bak kata anak-anak muda sekarang. 

Sebagai kenang-kenangan banyak juga produk makanan tradisional yang kami beli untuk dibawa pulang sebagai tanda kenang-kenangan dan ole-ole untuk anak-anak. Yang untuk makan dalam bas pun ada, boleh la alas perut sementara menunggu untuk makan tengahari di destinasi seterusnya.

Selepas itu kami meneruskan perjalanan dan lalu di satu perkampungan sawah padi berlatarbelakangkan permandangan banjaran gunung yang menghijau. Alangkah tenang dan damainya hati ketika kami singgah di Restoran Flora untuk makan tengahari. Restoran ini terletak di suatu kawasan sawah padi dan di bawahnya ialah kolam ikan air tawar. Sekali lagi kami dihidangkan dengan menu Nasi Padang dengan pelbagai jenis lauk pauk. Makan tengahari di sini cukup santai sambil sesekali terdengar seseorang meniup seruling buluh bambu dengan lagu-lagu minang cukup mendamaikan jiwa.

Selepas makan, ada juga ahli group yang membuang sisa makanan dan nasi kepada ikan-ikan yang berada di kolam di bawah tempat kami makan. Seronok dan gembiranya pengunjung yang sama-sama melihat telatah ikan-ikan di kolam. Yang baiknya, di tempat ini juga menyediakan kemudahan bilik solat untuk pengunjung. Perut pun dah kenyang kemudian menunaikan solat jamak. Lega rasa hati apabila keperluan jasmani dan rohani dapat disempurnakan di sini.

Kunjungan ke Bukit Tinggi tidak lengkap jika tidak melawat Istana Silinduang Bulan. Kabarnya istana yang asal pernah terbakar disambar petir. Maka dibina semula istana yang baru yang bentuknya sama seperti yang asal. Semasa kami tiba di sini hujan gerimis mula turun. Turun sahaja dari bas untuk mengambil gambar, sejuknya bukan main lagi. Kami tak lama di sini, ambil gambar dan terus naik bas kerana hujan semakin lebat.

Bayangkan kesejukan yang melanda kami. Benar-benar kesal kerana tidak bawa blazer. Suhu di Bukit Tinggi ini dah memang sejuk, ditambah lagi dengan hujan tambah sejuk la gamaknya. Tak tahan saya terus buka plastik telekung yang baru dibeli isteri semasa singgah dalam perjalanan tadi. Sarung aje la telekung duduk belakang bas. Rakan sebelah gelak aje sebab yang pakai telekung ada misai. Pengajaran berguna bagi saya lain kali kena bawa blazer bila datang lagi ke sini.

Jika di Medan terkenal dengan Danau Toba, di sini juga apa kurangnya. Tasik Singkarak juga amat luas. Saujana mata memandang. Kabarnya ia terjadi dari cetusan pergerakan Gempabumi dan mempunyai cerita lagendanya yang tersendiri. Tapi cerita lagenda tu saya pun tak tahu. Samada pemandu pelancong ada bercerita dalam bas tapi saya tertidur atau memang dia tak cerita, saya tak pasti. Al-maklum akibat keletihan kerana terlalu lama dalam bas boleh menyebabkan kita tertidur samada sengaja ataupun tidak. Suhu sejuk dalam bas juga mungkin turut menyumbang sama.

Pasar Atas dan Jam Gadang adalah mercu tanda bandar Bukit Tinggi. Di kawasan inilah pengunjung boleh membuat lontaran wang poket mereka. Terdapat pelbagai barangan jualan ada di sini. Yang pasti, Telekung Sulaman dan Busana Muslim yang banyak dicari oleh pengunjung. Tetapi ada yang pernah berkunjung ke sini menyatakan harga barangan di sini sudah semakin mahal, tak sama macam dulu. Ramai peniaga yang mengambil kesempatan menjual pada harga yang lebih tinggi kepada pengunjung berbanding orang tempatan. Biasa la tu, kat mana-mana pun sama. Pandai-pandai la buat tawar menawar.

Ketika di sini saya cuma istirehat di dataran Jam Gadang. Tiba-tiba datang beberapa pemuda menghampiri kami menyanyikan lagu sambil memetik gitar. Boleh tahan juga suara mereka. Ada talent. Masuk bertanding pun rasanya boleh jadi pemenang. Bila kita hulur barulah mereka meninggalkan kami. Lepas tu datang lagi geng lain. Sabar aje la.

Menjelang Maghrib baru kumpulan kami dapat dikumpulkan semula dan berjalan kaki kira-kira 100 meter dari dataran Jam Gadang. Ini kerana bas tidak dibenarkan untuk parking di kawasan tersebut. Apabila semua ahli group telah cukup, maka kami terus dibawa untuk makan malam di Restoran Tempatan. Perut dah kenyang, badan pun sudah terlalu letih maka kamipun terus dihantar ke hotel penginapan kami.

Sampai di hotel kami terus disambut oleh peniaga-peniaga semalam yang sedia maklum rombongan kami menginap di hotel ini. Apa lagi agenda membelibelah pun disambung semula oleh ahli rombongan. Ingatkan sampai hotel mereka terus naik bilik berehat. Duit banyak lagi gamaknya.  Saya dan isteri terus naik bilik, bersihkan diri dan berehat. Malam itu kami isikan masa terluang dengan berjalan-jalan di kawasan sekitar hotel sambil duduk minum-minum di salah satu kedai makan yang banyak terdapat di kawasan hotel.

Esuk paginya kami kena bangun seawal pagi sebelum Subuh untuk ke airport kerana flight kami dijangka berlepas pada jam 8.30 pagi. Syukur alhamdulillah kami sempat solat Subuh di sebuah masjid dalam perjalanan ke airport. Ada pula kedai kecil di masjid menjual minuman panas. Sempat juga kami sarapan sambil pekena kopi panas.  Salah satu sebab saya suka Padang dan Bukit Tinggi ini kerana kita mudah untuk berjumpa masjid di sepanjang laluan perjalanan. Majoriti penduduk di sini berketurunan Minang dan beragama Islam.

Jumpa lagi dan Wassalam.

 

Leave a Reply