Assalamualaikum wbt.

Sekembalinya saya dan isteri dari bertugas di tanah suci pada musim haji 2010, kami telah dipelawa oleh sahabat kami Hajah Hanisah untuk bersama rombongan beliau ke Padang dan Bukit Tinggi di Sumatera Indonesia. Pertama kali sampai di airport Bandara mendarat pada jam 8 pagi (waktu tempatan) kami disambut oleh wakil di sana. Bangunan airport kelihatan unik kerana bumbungnya seperti rumah orang Minangkabau.

Pemandangan alam semula jadinya begitu menawan sekali kerana bentuk mukabuminya diapit oleh 2 gunung yang menghijau saujana mata memandang.  Oleh kerana kami suami isteri pergi tanpa anak-anak terasa macam pergi “honeymoon” pula. Rasa macam pengantin lama yang diberi nafas baru. Suhu di sini sejuk dingin dan nyaman. Sayang tak bawa baju sejuk, jadi tahan ajelah suhu dingin di sini.

Dalam perjalanan kami dibawa singgah ke Air Terjun Lembah Anai. Masyarakat di sini percaya Air Terjun ini mempunyai khasiat “awet muda” kepada sesiapa yang mandi di dalamnya. Tapi saya percaya dengan suhunya yang sentiasa dingin akan membuatkan muka jarang berpeluh dan berminyak dan kelihatan sentiasa segar dan muda. Dalam hati saya berkata “agaknya lagi lama saya di sini, boleh makin cerah kulit muka saya ni, nampak awet muda”. Saya gelak dalam hati.

Perjalanan diteruskan menuju ke Restoran Rumah Makan Lamun Ombak yang begitu terkenal di sini. Saya yakin setiap pengunjung yang baru sampai pasti dibawa ke restoran ini untuk menikmati sarapan pagi atau makan tengahari. Dan sudah tentu kami dihidangkan dengan menu masakan Minang iaitu Nasi Padang dengan pelbagai jenis lauk.  Dalam restoran ini kelihatan agak eksklusif dan ramai pengunjung seperti rombongan kami dan ada juga rakyat Indonesia yang kami lihat seperti orang yang berada.

Selepas menikmati sarapan pagi , kemudian kami dibawa ke Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau di Padang Panjang. Semasa di sini, kami diberi penerangan mengenai sejarah adat dan budaya masyarakat Minangkabau. Banyak buku-buku dan barang pameran terdapat di rumah ini. Pengunjung juga diberi peluang untuk melaram pakaian pengantin masyarakat Minang dengan dikenakan caj Rp 20 ribu untuk sepersalinan. Saya lihat ada juga ahli rombongan kami yang sibuk bergambar dengan pakaian pengantin.

Ketika ahli rombongan sibuk berada di dalam rumah yang seperti muzium itu, kami suami isteri ambil keputusan untuk berjalan kaki meninjau kawasan sekeliling.  Sempat la kami berjalan di Jambatan Gantung yang terdapat di luar kawasan rumah ini. Romantiknya berjalan berdua-duaan berpimpin tangan dalam suhu yang dingin. Langsung tak berpeluh.

Kira-kira sejam selepas itu kami dibawa ke Restoran atau Rumah Makan Pak Datuk untuk makan tengahari. Sekali lagi kami menikmati menu makanan Minang. Nasi Padang. Makan aje la, tak usah nak komplain. Tapi memang sedap dan menyelerakan. Perut dah kenyang kami keluar dan di luar restoran telah sedia menunggu pemuda-pemuda yang menawarkan pelbagai jenis barangan. Ada juga yang menyanyi sambil petik gitar. Pandangan yang biasa kita lihat ketika berkunjung ke Jakarta, Bandung dan lain-lain tempat di Indonesia.

Selepas makan tengahari kami terus dibawa “check in” hotel di sini. Lupa pula nama hotelnya. Hotel 3 bintang ini boleh tahan juga. Tiada aircond tetapi memang sejuk giler. Kebetulan ketika itu hujan gerimis mula turun. Masuk ke bilik kami terus berbaring melepaskan penat. Sebelum itu bersegera kami solat Jamak Ta’khir bimbang terlelap langsung terlepas waktu.  Selepas Maghrib, kami dibawa menaiki bas untuk makan malam di restoran tempatan. Sekali lagi Nasi Padang menjadi sajian. Selepas makan malam, kami langsung dibawa ke hotel untuk istirehat.

Sampai semula di hotel kelihatan masih ramai lagi peniaga jalanan yang menunggu-nunggu ketibaan rombongan kami. Saya lihat yang paling banyak menarik minat pembeli ialah Telekung Sulaman. Memang Padang dan Bukit Tinggi terkenal dengan keindahan dan kehalusan seni Sulaman. Telukung Sulaman di sini memang tidak dinafikan cantik dan murah harganya. Bagi golongan wanita, di sinilah syurga membelibelah mereka. Bawa wang secukupnya takut terkilan. Malam itu kami tidur begitu nyenyak sekali kerana kepenatan seharian ditambah pula dengan suhu malam yang sejuk mencengkam.

Bersambung di Siri 2, insyaAllah.

 

4 Replies to “Catatan Perjalanan Padang Bukit Tinggi”

Leave a Reply