Assalamualaikum wbt.

Ramai yang bertanya saya samada Ajwa Travel ada setting Pakej Haji atau tidak ? Saya jawab dengan baik iaitu “Setakat ini belum lagi”. Tetapi sebelum Ajwa mengorak langkah untuk setting Pakej Haji, ada baiknya bakal-bakal Jemaah mengetahui dahulu Prosedur Berkenaan Haji dan juga perkara-perkara di sebalik tabir supaya bakal-bakal jemaah tidak terpedaya nanti. Tidak dinafikan kegairahan untuk menunaikan Haji boleh menyebabkan kita mudah percaya sehingga melupakan pertimbangan logik akal.

makkah city2Sememangnya untuk Terpilih dalam kouta Haji tahun ini dikira mustahil bagi mereka yang mula untuk mendaftar atau baharu sahaja mendaftar. Jika kita mendaftar Haji di Tabung Haji sekarang ini, giliran untuk pergi Haji yang dimaklumkan oleh Petugas Tabung Haji di Kaunter mungkin pada tahun 2050 agaknya. Pembaca boleh “check” dengan Tabung Haji kedudukan atau status tahun bila akan terpilih. Maknanya kena tunggu 40 tahun atau 50 tahun lagi baru boleh jadi Terpilih dalam Kouta.

Senario Sebelum Musim Haji 2010

Umum mengetahui kouta Haji untuk Malaysia ialah 0.1% dari jumlah Penduduk Malaysia iaitu sekitar 28 juta jemaah. Daripada 28 juta yang Terpilih, mengikut rekod lepas hanya kira-kira 5% sahaja yang mengikut Pakej dan manakala 95% lagi mengikut Tabung Haji Muasasah. Maknanya lebih kurang 1500 jemaah sahaja yang ikut Pakej Haji Swasta termasuk Pakej Tabung Haji Travel.

Selama ini Malaysia bergantung kepada ihsan dari Kerajaan Arab Saudi untuk mendapat Kouta Tambahan. Biasanya Kouta Tambahan ini diperolehi dalam bulan Ramadhan, dan adakala lewat sehingga memasuki bulan Syawal. Dan pernah juga pada bulan Dzulkaedah. Dan apabila Kouta Tambahan ini diperolehi, maka baru pihak Tabung Haji akan mengagih-agihkan jumlah Kouta Tambahan berkenaan kepada pihak Pakej Haji Swasta atau biasa dipanggil Pengelola Jemaah Haji (PJH) iaitu agensi Travel yang diberi lesen oleh Tabung Haji.

Pengagihan Kouta Tambahan ini bukan dibuat secara samarata. Tetapi dibuat mengikut Jumlah Purata Jemaah untuk 3 tahun sebelumnya. Contohnya jika purata jemaah Zahafiz Travel ialah 1000 orang, maka kouta tambahan yang diberi oleh Tabung Haji mungkin berjumlah 1000 juga atau kurang dari itu.

Bagi PJH yang mempunyai bilangan Purata jemaah yang sedikit (katakanlah 200 orang) maka akan diberi 200 orang atau kurang dari itu oleh Tabung Haji. Jumlah Kouta Tambahan yang diberi ini ialah Kuasa Mutlak Tabung Haji. Pihak PJH hanya boleh membuat Rayuan dengan mengemukakan Dokumen-dokumen sokongan dan mestilah mengikut Terma dan Syarat Tabung Haji.

Harus diingat Terma dan Syarat kepada PJH ini bertujuan untuk menjaga kebajikan jemaah Haji juga. Sebagai contoh, dalam Terma dan Syarat, pihak PJH wajib menyediakan Rumah Penginapan untuk Jemaah Hajinya. Jika jumlah jemaah PJH berjumlah 1000 orang misalnya, maka pihak PJH harus dapat membuktikan kepada Tabung Haji bahawa penginapan untuk jemaah Hajinya sudah sedia siap iaitu dengan menyerahkan Surat Perjanjian Perumahan (SPP) di Tanah Suci. SPP ini ialah satu bukti menunjukkan kemampuan  PJH  menjaga jemaah mereka. Mana mungkin Tabung Haji akan memberi Kouta Tambahan kepada PJH tanpa bukti SPP ini.

Dengan kata lain, jika PJH memohon tambahan Kouta untuk mereka seramai 500 orang, maka PJH berkenaan mesti menunjukkan bukti bahawa mereka sudah menyediakan 500 katil untuk penginapan jemaah mereka di Tanah Suci. Jika tidak, pastinya kouta sebanyak yang diminta tidak dilayan oleh pihak Tabung Haji.

Oleh kerana Kouta Tambahan ini diperolehi setiap tahun sebelum ini, maka ramai jemaah yang baru mendaftar Haji dengan Tabung Haji dan kemudiannya mendaftar dengan PJH dapat menunaikan Haji pada tahun yang berkenaan. Sehingga wajud Istilah “jika nak pergi haji cepat maka kena mendaftar dengan Pakej Haji Swasta”. Malah ada juga kabar-kabar menyatakan ada PJH yang mendakwa bahawa mereka ada Kouta Haji, dan sesiapa yang ingin menunaikan Haji pada tahun tersebut, boleh mendaftar dengan mereka.

Sebenarnya dakwaan PJH bahawa mereka ada Kouta Haji ini kurang benar atau kurang tepat dan sememangnya tidak disenangi oleh Tabung Haji. Seolah-olah PJH sudah sedia ada kouta Haji sendiri walhal kouta Haji ini atas keputusan Tabung Haji. Dan keputusan memberi kouta Haji kepada PJH juga tertakluk kepada Ihsan dari Kerajaan Arab Saudi.

Senario Selepas Musim Haji 2010

Bermula Musim Haji 2011 sehingga 2013, Kerajaan Malaysia tidak mendapat Kouta Tambahan Haji dari Kerajaan Arab Saudi. Malah untuk musim 2013, Kouta Haji yang ada telah dikurangkan sebanyak 20% kerana Kerja-kerja Pembangunan Semula Kota Makkah (Masjidil Haram). Tahun 2013, jika tak silap Malaysia hanya membawa lebih kurang 22 ribu lebih jemaah Haji.

Pada musim Haji 2011 dan 2012, banyak PJH yang mengalami kerugian yang bukan sedikit. Bayangkan sekiranya sebuah PJH yang mempunyai 500 orang jemaah dan yang terpilih hanya 100 orang aje. Bagi memenuhi Terma dan Syarat Tabung Haji, PJH ini telah memajak bangunan Hotel di Makkah bagi menampung 500 orang jemaah mereka (walaupun yang Terpilih hanya 100 orang) demi mengharapkan Kouta Haji Tambahan ada seperti tahun-tahun sebelumnya.

Tiba-tiba Tiada Kouta Haji Tambahan untuk tahun yang berkenaan. Berapa kerugian yang terpaksa ditanggung oleh PJH berkenaan. Jika harga sebuah katil pada musim Haji ialah SR10000 didarab dengan 400 katil (500 – 100 (Terpilih), maka kerugian bangunan sahaja ialah RM 4 juta. Dan jika boleh dijual 400 katil yang tidak diduduki (kerana jemaah tak datang) pun dah dikira baik bagi mengurangkan kerugian. Tetapi harga jualan secara “last minute” menjelang Hari Wukuf ini biasanya jauh lebih murah berbanding masa Harga Belian.

Keadaan ini yang banyak dialami oleh PJH pada tahun 2011 dan 1012. Untuk musim 2013, dari awal lagi sudah dimaklumkan bahawa Kouta Haji yang sedia ada pun akan dikurangkan 20%, maka saya rasa tiada PJH yang berani memajak bangunan Hotel walaupun menyedari bilangan jemaah yang mendaftar dengan mereka ramai. Bilangan jemaah ramai tetapi kebanyakkannya berstatus Rayuan dan belum lagi Terpilih. PJH hanya menyewa bangunan berdasarkan bilangan Jemaah Haji yang Terpilih sahaja bagi mengelakkan risiko kerugian seperti tahun sebelumnya.

Haji Secara Furada

Untuk makluman, selain Tabung Haji ada juga jemaah yang menunaikan Haji tanpa melalui Tabung Haji atau dipanggil “Visa Haji Furada”. Semasa bertugas pada musim Haji dahulu, saya biasa berjumpa dengan jemaah Haji Malaysia sistem Furada ini. Dulu ketika zaman Pasport Haji Tabung Haji berwarna Hijau, kumpulan Haji Furada ini menggunakan Pasport Antarabangsa atau biasa dipanggil Jemaah Haji Pasport Merah. Dan sememangnya Jemaah Haji Furada ini tiada rekod dalam Sistem Tabung Haji. Mereka tidak boleh mendapatkan khidmat Rawatan Kesihatan di mana-mana Klinik Tabung Haji atau Hospital Tabung Haji di Tanah Suci.

Harga Pakej Haji cara Furada

Visa Haji sememangnya Percuma tetapi Visa Haji secara Furada ini bukannya percuma dan kena beli. Pada tahun-tahun 2000 dulu harga Visa Haji Furada ini hanya sekitar Usd 400 hingga Usd500 sahaja. Tetapi musin 2013 lepas, saya dengar harganya sudah mencecah sehingga Usd3000-Usd4000 iaitu RM9000-RM12000 lebih. Ada berani ?

Kenapa harganya boleh meningkat jangan tanya saya. Sebab jawapannya memang tak da pada saya. Tetapi bagi mereka yang bermampuan dan berkeinginan kuat untuk menunaikan Haji, soal harga bukan jadi satu isu. Yang penting dapat pergi haji.

Pakej Haji sistem Furada ini sememangnya mahal. Ini kerana harga Visa dan tiket Penerbangan sahaja sudah mencecah sehingga RM15000, ditambah lagi dengan kos penginapan Makkah dan Madinah, makan dan minum selama di sana, bayaran Muasasah untuk Arafah dan Mina maka kiraan kasar saya tidak lari dari  RM30 ribu untuk seorang.

Modus Operandi Haji

Dan sekiranya saya mahu setting Pakej Haji cara Furada ini, saya akan ambil pendekatan cara begini. Iaitu jemaah akan terbang dan masuk Makkah kira-kira 1 minggu sebelum Hari Wukuf atau pada 3 Zulhijjah. Untuk tempoh seminggu ini, jemaah akan saya tempatkan di kawasan Aziziah berhampiran Mina bagi memudahkan jemaah berulang-alik semasa membuat Lontaran pada Hari 10,11, dan 12 Zulhijjah. Ini kerana harga Hotel yang berhampiran dengan Masjidil Haram sememangnya mahal ketika ini.

Jemaah akan dibawa ke Arafah pada 9 Zulhijjah selepas waktu Subuh. Dan sebaik sahaja menjelang pertengahan malam 10 Zulhijjah, jemaah akan dibawa dari Arafah melalui Muzdalifah (untuk mabit) menuju ke Makkah untuk bertahalul awal iaitu dengan melakukan Tawaf Ifadah (haji) dan Saie Haji yang kemudiannya bertahalul (bercukur atau bergunting).

Pada Hari Tasyrik, jemaah akan berulangalik dari Makkah ke Mina untuk melakukan Lontaran Jamrah Kubra (10 Zulhijjah) dan juga Lontaran untuk 3 Jamrah pada Hari 11 dan 12 Zulhijjah. Jemaah akan melakukan Nafar Awal iaitu meninggalkan bumi Mina sebelum tenggelam matahari 12 Zulhijjah.

hotel 5 bintang makkahTidak mustahil jemaah boleh menginap di Hotel di atas pada harga Pakej RM30 ribu jika memasukinya selepas 13 Zulhijjah

Dan sebaik selesai tanggal 13 Zulhijjah, maka kesemua jemaah akan berpindah dari Aziziah ke Hotel yang berhampiran dengan Masjidil Haram. Ketika itu Hotel-hotel 5 bintang mengalami penurunan harga yang drastik sekali dan tidak mustahil jika jemaah dapat menginap di Hotel Safwah atau setaraf dengannya pada harga Pakej RM30 ribu sahaja.

Jemaah akan menginap di Makkah selama 25 hari dan 5 hari terakhir di Madinah pula. Tempoh Perjalanan Haji pada anggaran 30 hari sahaja.Kenapa tidak 40 waktu di Madinah seperti Jemaah Tabung Haji ? Sebabnya saya tak pegang Hadith Daif yang menyatakan Solat 40 waktu di Masjid Nabi dapat masuk Syurga. Hadith Daif boleh diamal sebagai galakan untuk kuat beribadah tetapi tidak boleh dipegang untuk jadi sandaran Hukum.

Sungguhpun Visa Haji cara Furada ini sah dari sudut Undang-undang Kerajaan Arab Saudi tetapi ramai juga yang masih gagal memperolehinya. Sememangnya Visa Haji Furada ini benar-benar menjadi rebutan dan mendapatkannya juga bukan satu kerja yang mudah.Kerana itu saya tidak berani memberi jaminan jemaah akan memperolehi Visa Haji dan dapat pergi Haji untuk musim Haji kali ini. Jika dapat Visa Haji, maka jemaah akan berangkat. Jika nak buat kenduri pun biarlah selepas balik Haji nanti. Dibimbangi diri sendiri yang malu nanti sebab kenduri dan dibuat tetapi tak dapat pergi Haji.

Jika bakal jemaah masih tidak faham mengenai hal haji boleh hubungi saya untuk mendapatkan gambaran yang sebenarnya. Sememangnya kegagalan untuk menunaikan Haji amat memeritkan tetapi sekiranya kita sudah memahami permasalahan maka kita akan berlapang dada dan redha dengan ketentuannya.

Sekian dan Wassalam.

14 Replies to “Cerita Haji Musim 1435H”

  1. Alhamdulillah, Penerangan haji cara Furada yang di sampaikan sangat jelas.

    Visa Haji Furada makin meningkat tahun demi tahun. Agaknya sesetengah pembesar dan peniaga Arab mendapatkan duit cara jual visa haji furada ini.

    Saya ingin bertanya kepada tuan Haji Iqbal, kalau jemaah haji kali pertama menunaikan haji melalui LTH di berikan subsidi dan khabarnya 1/3 dari kos keseluruhan. Jadi soalan saya, kalau jemaah haji melalui cara furada adakah boleh dapat keistimewa subsidi kerajaan Malaysia? Jika ianya boleh dapat subsidi tentunya dapat mengurangkan kos yang tuan anggarkan sekitar 30K. Jika tidak ada (kerana tidak di terangkan dalam entri ini), persoalannya kenapa?

    Semoga tuan dapat membawa seberapa ramai jemaah haji cara furada 2014 ini kerana ramai orang yang mampu pada waktu ini.

    Satu pujian tentang harga yang tuan tawarkan untuk haji furada.
    Bila saya googling haji furada 2014;
    1. HAJI 2014 RP 155 JUTA / PAX bersamaan MYR43773.46
    (http://www.gfumrah.com/index.php?option=com_content&view=article&id=89%3Ahaji-visa-furada-2014&Itemid=99

    2. Haji Plus 2013 = USD10,000 = MYR32655.00 tentu 2014 ini lebih lagi
    https://www.flickr.com/photos/77725569@N03/9353224111/

    3.Alhamdulillah dapat 2 calon jamaah haji furada
    https://www.facebook.com/MPMCirebon/posts/184385091753556

    Cukuplah sebagai contoh untuk menunjukan pakej haji furada yang tuan haji Iqbal tawarkan adalah yang termurah.

    Wassalam

    1. Haji cara Furada tidak ada kena mengena dengan Tabung Haji. Oleh yang demikian memang tiada subsidi. Malah jemaah haji yang memilih Pakej Swasta yang diberi lesen oleh Tabung Haji juga tidak mendapat subsidi dari Tabung Haji. Kerana itu kita dapati Harga Pakej Haji swasta mahal berbanding dengan jemaah yang mengikut Tabung Haji Muasasah. Sebenarnya Kos Haji sudah lama mahu dinaikkan tetapi mungkin atas sebab takut dijadikan isu politik maka ianya dikekalkan pada RM9980 selepas diberi subsidi oleh Tabung Haji. Tetapi Pakej Swasta oleh kerana tiada subsidi maka paling rendah harga yang ditawarkan sekitar RM19000 ke atas. Pernah juga jadi isu kerana jemaah yang ikut Pakej Haji Swasta, mereka ini pendeposit Tabung Haji juga sama macam jemaah Haji Muasasah. Tambahan pula syarat pergi haji ialah berkemampuan..jika yang demikian kenapa pula diberi subsidi seolah-olah jemaah haji belum cukup syarat pula.

  2. Sebelum ini saya faham subsidi haji kepada jemaah haji datangnya dari kerajaan, tapi bila membaca penerangan Tuan Haji Iqbal di atas ternyata datang dari LTH sendiri. Soalnya dari mana datangnya wang subsidi tersebut kalau tidak dari sumber perniagaan LTH. Jika benar datang dari keuntungan perniagaan, maka tersangat tidak adil kepada pendeposit tabung haji yang tidak berkesempatan untuk mendapat kemudahan subsidi tersebut.
    Terdapat ramai pendeposit tabung haji tidak menyedari keperluan mendaftar untuk menunaikan haji termasuklah saya sendiri, saya juga bertemu dgn seorang ustaz yg juga tidak mendaftar di peringkat awal. Semua yang tidak tahu ini menganggap menjadi pendeposit tabung haji mencukupi. Bila wang dah rasa cukup, bertanya kpd tabung haji, baru lah sedar akan keperluan mendaftar untuk menunaikan haji. bayangkanlah wang yang terkumpul sedangkan sebahagian keuntungan di salurkan kepada jemaah haji terpilih saja. Patutlah LTH tidak pernah membayar bonus/dividen lebih tinggi walhal mereka tidak memerlukan kos operasi yg sepenuhnya, contohnya gaji kakitangan LTH di abayar oleh…

    Berkaitan simpanan kekal dalam tabung haji bagi yang telah mendaftar untuk menunaikan haji, mereka akan di kehendaki mengekalkan simpanan sekurang-kurangnya RM1300. Jika kita ambil manima simpanan perlu di kekalkan di darab dgn pendeposit yg telah berdaftar dan menunggu, memang satu angka yang amat banyak.

    kalau tidak silap kiraan

    RM1300 min simpanan kekal setiap bakal jemaah haji
    x 28000 orang jemaah dalam senarai menunggu setahun
    x 40 tahun tempoh menunggu terkini
    ——————–
    RM1.456b
    ==========
    Kiraan di atas cuma mengambil kira simpanan kekal pada tahap min sahaja. Berapakah jumlah kalau setiap pendeposit itu telah genap atau menghampiri kos sebenar mengerjakan haji.
    kiraan mudah = RM1.456b/1300 x 10000 = 112b.

    Akhir sekali saya melihat kepada genarasi baru dan masa akan datang yg memulakan kerja di waktu ini dan kehadapan. Jika mereka mendaftar menunaikan haji di peringkat awal berkerja (jarang berlaku kerana belum ada kesedaran) di tambah tempoh menunggu 40 tahun, sampai pencen 60 pun bagi kakitangan awam tak berkesempatan menunaikan haji pakej tabung haji kecualilah mereka ada lebihan dan dapat menunaikan haji swasta atau haji cara furada yang di maksudkan di entri ini.

    Terima kasih.

    1. terima kasih atas pandangan. sebenarnya ramai yg tidak menyedari bahawa keperluan untuk mendaftar Haji hanya memerlukan baki minima di akaun simpanan tabung haji hanya RM1300 sahaja. Ramai beranggapan bila simpanan sudah mencukupi maka ia layak untuk pergi Haji. Secara peribadi saya merasakan perlu ditukar sistem yang sedia ada kini dan perlu dicari satu kaedah baru bagi memudahkan pendeposit untuk menunaikan haji. Jika ikut akal yang logik saya fikir mustahil untuk orang yang baru mendaftar haji untuk dapat giliran kerana terpaksa menunggu 40 tahun lebih dari sekarang.
      Pihak Tabung Haji juga sebenarnya perlu melaksanakan Kempen Pendaftaran Haji terutama kepada generasi muda. Alangkah baiknya jika pihak Tabung Haji juga boleh menghantar surat atau makluman kepada pendeposit supaya mendaftar Haji apabila akaun simpanan sudah mencukupi.

  3. assalamualaikum.penerangan tuan hj mengenai haji furada amat memberi manfaat dan informasi.patutlah saya yg dah 3 kali merayu untuk menunaikan hj tidak dpt-dpt pergi lagi.tp hanya satu yg saya ingat Allah blm jemput saya lg.insyaAllah ada rezeki saya akn sampai juga kesana utk tunaikan haji.

  4. Seronok bila membaca penerangan tuan haji dalam hal berkaitan pendaftaran menunaikan haji dan masalah menunggu bagitu lama yang kini berlaku di negara kita dewasa ini.
    Agaknya kalau pergi ke tabung haji dan baru nak daftar, 50 tahun dan keatas lah kena masuk zon tunggu.

    Satu perkara yang mungkin kurang menyeronokan bila berlaku orang muda (30an) atau orang baru daftar sudah dapat pergi. Merekah pergi ikut pakej Tabung Haji. Bila tanya bagaimana boleh dapat awal, jawabnya quota YB tertentu, ada yg quota bahagian tertentu. Dengan ini bermakna quota yang di berikan kepada LTH bukanlah terbuka untuk semua pendeposit TH mengikut giliran daftar!
    Mohon pencerahan sedikit kalau tuan hj berkelapan.

    1. Biarlah blog saya ini sekadar memberikan maklumat dan pandangan yg seboleh-bolehnya cuba untuk tidak menyinggung mana-mana pihak. Saya akui apa yang ditanya memang benar-benar berlaku.

  5. Bila seseorang mendapat peluang mengerjakan haji samaada quota LTH mengikut giliran atau quota YB/menteri, tentulah jemaah haji tersebt akan merasa gembira sebab telah mendapat panggilan haji. Di sebabkan itu juga ada yg sanggup menggunakan sesuatu cara kurang baik untuk dapat giliran awal dan mungkin termasuklah saya.
    Apakah hukum bila kita menggunakan quata tertentu seperti quata YB untuk awalkan, bukankah kita di jemput dengan menidakkan giliran orang lain. Apakah hukumnya mengambil giliran seperti ini? mohon tuan Hajj atau sesiapa pembeca yang arif ikut memberikan komen terhadap giliran seperti ini.

    Terima kasih.

  6. Saya bukan bermaksud menyalahkan mana-mana pihak samaada YB/menteri mahupun TH dalam quata haji yg pernah saya sebutkan, cuma rasa tidak adil kepada org yg tak dapat awal sedangkan kita sama-sama sebagai pengundi tetapi hanya pengundi terpilih saja yg dapat keutama seperti iti.

  7. Assalamualaiku .

    Tuan,

    Saya ingin bertanya, adakah jadi tuan haji menganjurkan ‘haji Furada’ seperti yang tuan ceritakan dalam entri ini bagi tahun 2014 ini. Jika jadi ada 2 org lelaki yg minta keluarga kami cari bagaimana nak dapat tunai haji tahun ini. Jika masih valid untuk tahun ini, mohon tuan haji menghubungi Ibrahim di no 0162292102.

    Terima kasih.

  8. salam, tuan haji…
    saya ingin bertanyakan tentang data atau statisitik yang diberi tentang bilangan jemaah haji yang datar di TH,boleh tuan berikan rujukan di mana saya boleh dapatkan data tesebut sekiranya boleh cari online sahaja?

Leave a Reply