Assalamualaikum wbt.

Menguruskan perniagaan perkhidmatan Umrah tidak sama seperti menguruskan perniagaan yang lain. Sungguhpun sesuatu perniagaan itu bermatlamatkan keuntungan, tetapi matlamat yang sebenarnya ialah apabila kita berjaya melaksanakan tugas menguruskan jemaah sehingga benar-benar memberi kepuasan kepada jemaah. Dan apabila jemaah berpuas hati, kita yakin segala amalan mereka di tanah suci juga mudah-mudahan diterima oleh Allah s.w.t. Apabila tidak ada cacian, umpat atau kata mengata di belakang, tiada rasa marah yang melampui batas, atau sebarang perlakuan negatif di tanah suci maka kita yakin segala apa yang kita lakukan semasa di sana akan mengundang kebaikan dan menjadi ibadah kita kepada Allah. Dan setiap ibadah pula pasti Allah s.w.t. memberikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda tambahan pula dilakukan di tanah suci.

Mengapa Jemaah Tidak Berpuas Hati ?

Banyak faktor yang boleh menyebabkan jemaah tidak berpuas hati semasa di tanah suci. Boleh jadi kerana letih dan penat kerana menempuh perjalanan yang sukar dan lama masanya. Boleh jadi kerana kaki penat dan lenguh-lenguh kerana terpaksa berjalan kaki yang begitu jauh berulang alik ke masjid. Boleh jadi juga kerana sajian makanan yang tidak menyelerakan. Boleh jadi kerana keadaan bilik yang sempit. Boleh jadi juga kerana merasa tertipu oleh Penganjur Pakej kerana gambaran yang diberikan tidak sama dengan realitinya. Tambah geram apabila Penganjur Pakej selalu mengatakan ” bersabar aje la, ini semua ujian Allah”. Satu ungkapan yang jemaah paling tidak suka dengar. Tidak dinafikan apa yang berlaku merupakan ujian Allah kepada kita. Sabar atau tidak apabila menerima sesuatu ujian tetapi apabila Penganjur Pakej menggunakan ungkapan ini untuk “excuse” kelemahan mereka, ini yang sukar diterima.

Hotel yang bertaraf bintang yang hampir dengan Masjidil Haram

Saya yakin jemaah akan berpuas hati sekiranya kesemua perkara di atas boleh dihindarkan.  Pertama, pemilihan hotel penginapan harus dekat dengan masjid. Jemaah tidak penat untuk berjalan kaki. Nak ulang alik ke masjid amat mudah dan lancar. Kerana itu saya setting Umrah Idaman yang menawarkan hotel bertaraf bintang dan begitu hampir dengan masjid. Cuma untuk mendapatkan bilik-bilik hotel yang bertaraf bintang ini, bayaran sewa bilik mesti dibayar penuh sebelum jemaah boleh “check in”. Kerana itu apabila jemaah lambat membuat bayaran penuh, ini boleh menyukarkan penganjur Pakej untuk mendapatkannya. Tambahan pula, hotel bertaraf bintang ini juga menjadi rebutan jemaah negara-negara Arab dan Indonesia.

Bagi yang ber”budget” pula boleh memilih Pakej Umrah Super Ekonomi kerana sungguhpun hotelnya jauh tetapi jemaah berjalan kaki tidak jauh. Kemudahan Bas hotel ulangalik ke Haram menyebabkan jemaah tidak penat berulang-alik ke Masjid. Jemaah Malaysia memang tidak biasa berjalan kaki jauh. Nak ke surau yang 30 meter dari rumah pun kita start motor. Bila terpaksa berjalan kaki jauh, ini sudah jadi satu kejutan pada kaki kita.

Kedua, bagi mengelakkan perjalanan yang sukar dan mengambil masa yang lama, jemaah boleh memilih flight terus dari KLIA ke Jeddah atau lebih baik jika dapat terus KLIA ke Madinah. Harga tiket flight memang lebih tinggi tetapi memang lumrah hidup, “kita terpaksa bayar lebih untuk dapatkan yang terbaik“. Alangkah baiknya  jika rezeki yang Allah berikan disalurkan ke jalan yang diredhai oleh Allah. Bukan boros namanya apabila memilih pakej umrah yang lebih mahal jika niat kita supaya perjalanan Umrah kita menjadi mudah dan lancar. Kita boleh kekal fokus dalam beribadah.

Bagi yang ber”budget”, kita kena set dalam minda kita supaya kekal sabar selama dalam perjalanan. Service airlines memang di luar kawalan Penganjur. Tetapi dengan memilih syarikat penerbangan yang betul boleh mengurangkan sedikit risiko perjalanan yang lama dan kadang kala membosankan. Ini kerana ada flight yang jadualnya selalu delay dan menyukarkan jemaah. Pembaca boleh rujuk kepada post saya sebelum ini.

Bagi pihak Penganjur, jika inginkan harga tiket yang murah maka penganjur kena membuat tempahan awal. Dan tempahan awal ini pasti menggunakan pembayaran tunai.  Apabila harga tiket flight diperolehi dengan kadar yang murah maka harga pakej yang ditawarkan juga akan lebih murah. Cuma risikonya apabila tempahan tiket awal tersebut tidak mendapat sambutan, maka yang rugi ialah Penganjur Pakej. Nak tunggu ada jemaah baru nak cari tiket maka harga yang diperolehi pasti lebih tinggi. Kerana itu nama-nama jemaah amat penting untuk tujuan tempahan tiket. Al-maklum dalam satu flight ada kelas-kelas yang tertentu. Tempat duduk paling belakang pasti tidak sama harganya dengan tempat duduk di bahagian hadapan.

Apapun suatu hakikat yang perlu kita sedar ialah mustahil untuk kita dapat memuaskan hati semua pihak. Cuma kesungguhan kita untuk melakukan yang terbaik bagi memberi kepuasan kepada jemaah, itu yang lebih utama. Manusia merancang, Allah juga merancang, dan pastinya perancangan Allah jua yang terbaik.

Jumpa lagi..insyaAllah

Leave a Reply