Assalamualaikum wbt.

Hari ini 1 Zulkaedah 1433H, bermulalah episod keberangkatan Jemaah Haji Malaysia ke tanah suci menerusi penerbangan pertama KT1 yang mendaftarkan diri di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya. Seramai 28 ribu jemaah akan berangkat ke tanah suci mengikut jadual penerbangan yang telah ditentukan. Dan masih ramai lagi yang ternanti-nanti bila agaknya kuota tambahan akan diperolehi bagi membolehkan mereka turut Terpilih menjadi jemaah haji untuk musim 1433H ini. Semoga Allah membuka pintu hati mereka yang berkenaan agar meluluskan kuota tambahan haji yang dinanti-nantikan.

Terminal Haji Jeddah

Kepada para jemaah haji yang telah Terpilih, ingatlah matlamat ke tanah suci adalah untuk mendapatkan Haji yang Mabrur kerana Haji Yang Mabrur tiada balasan lain kecuali syurga. Tetapi tiada siapa yang tahu samada haji yang dikerjakan diterima atau tidak oleh Allah. Cuma kita boleh berusaha dan mengharapkan ianya diterima oleh Allah. Soalnya, bagaimanakah caranya kita boleh berusaha untuk mendapatkan Haji yang Mabrur.

Pertama, ikhlaskan niat kita beribadah semata-mata kerana Allah dengan menyahut seruanNya dan menuntut keredhaanNya. Bukan kerana bermegah-megah dengan title “Haji” atau “Hajjah”. Saya lihat sendiri ada di kalangan jemaah yang marah apabila dirinya tidak dipanggil “Haji” atau “Hajjah” sebaik selesai dari menyempurnakan haji dari Mina. Belum lagi pulang ke tanah air, sudah mahu dirinya dipanggil “Haji” atau “Hajjah”. Soalnya penting sangatkah title “haji” atau “hajjah” itu kepada diri kita. Dibimbangi ianya boleh menjadikan kita “riak” dan takbur, kononnya diri kita lebih alim dan warak dari orang yang belum menunaikan haji.

Apabila niat kita ikhlas kerana Allah, segala perlakuan kita di tanah suci akan menjadi ibadah. Kita jaga sebaik-baiknya hubungan kita dengan Allah dan juga hubungan kita sesama jemaah. Maka lahir segala sifat-sifat kebaikan dalam diri.  Setiap anggota tubuh dan pancaindera kita akan difokuskan untuk membuat amal kebajikan di tanah suci. Hati kita akan selalu berbaik sangka sesama jemaah. Ukhwah persaudaraan sesama jemaah terjalin dengan baik. Sentiasa bersikap baik dan ramah mesra, sentiasa bersedia untuk tolong menolong dan bantu membantu,  khususnya kepada jemaah yang lebih tua atau uzur.

Serentak dengan itu, segala anggota tubuh badan kita sentiasa diarahkan kepada kerja-kerja ibadah mengingati Allah. Jaga solat berjemaah dan menambah amalan-amalan sunat yang lain seperti melakukan solat-solat sunat, melakukan tawaf sunat dan lidah sentiasa mengucapkan Zikrullah, berdoa, bertalbiyah dan membaca al-Quran. Isikan ruang masa yang banyak di tanah suci dengan melakukan perkara-perkara di atas. Jauhi segala sifat negatif yang boleh menghalang kita dari kekal fokus dalam beribadah. Ingatlah iblis dan syaitan akan sentiasa berusaha merosakkan kerja ibadah haji para jemaah. Jangan sampai kita tertewas dan pulang ke tanah air sekadar membawa title “Haji” atau “Hajjah” semata-mata.

Wukuf di Arafah

Dalam keghairahan jemaah beribadah di tanah suci, jangan lupa jaga  kesihatan. Ramai jemaah yang terlalu memaksa diri untuk membanyakkan ibadah Umrah sunat dan juga ibadah yang lain sehingga menjejaskan tahap kesihatan mereka. Tidak dinafikan ibadah di Masjidil Haram ganjaran pahalanya 100,000 kali ganda tetapi yang paling lebih diutamakan ialah waktu Wukuf di Arafah kerana itu merupakan Rukun Haji dan kemuncak ibadah Haji.  Penantian selama bertahun-tahun menunggu untuk menunaikan fardhu Haji tiba-tiba menjadi kurang bermakna apabila jemaah terlantar sakit kerana sikap mengambil mudah aspek kesihatan.

Amat malang sekali sekiranya ketika Hari Wukuf, jemaah terlantar sakit di Hospital Tabung Haji atau Hospital milik Kerajaan Arab Saudi sehingga terpaksa dibawa dengan ambulan ke Arafah untuk mendapatkan rukun Haji. Sedangkan ketika itulah saat doa mustajab iaitu ketika Wukuf di Arafah.

Bagi jemaah yang belum berangkat, saya galakkan bawa kasut sukan bersama. Ini kerana semasa 11, 12 dan 13 Zulhijjah jemaah akan berjalan kaki berulang alik dari khemah di Mina Muassem ke kawasan Jamrah untuk melakukan lontaran ketiga-tiga Jamrah yang jaraknya lebih dari 6 km (pergi dan balik). Ini bermakna jemaah akan berjalan kaki sekurang-kurangnya sejauh 18km semasa Hari Tasyrik. Berjalan kaki dengan memakai selipar atau sandal menyukarkan jemaah. Jika selipar terputus, tambah kesian kepada jemaah terbabit kerana terpaksa berkaki ayam di atas jalan raya. Dan jangan lupa pakai stokin semasa memakai kasut sukan, dibimbangi kaki akan melecet dan tambah meyulitkan keadaan nanti.

Cukup setakat ini dahulu dan  jumpa lagi, insyaAllah.

 

Leave a Reply