Assalamualaikum wbt

Destinasi Dalat dan Nha Trang sememangnya belum popular bagi pelancong Malaysia berbanding dengan Ho Chi Minh. Malah ada yang tidak mengetahui di mana lokasi kedua tempat ini. Bagi yang gemar menghayati keindahan alam semula jadi, menziarahi kedua tempat ini pastinya mengujakan. Kepada yang belum sampai ke Nha Trang (disebut Na Chang oleh orang tempatan) dan Dalat ada baiknya saya ceritakan pengalaman berkunjung ke sana.

Menaiki Pesawat Airasia ke Nha Trang

Kunjungan kumpulan Ajwa Travel berlepas ke Nha Trang pada 9 September yang lepas dengan pesawat Airasia pada jam 10.20 pagi dan sampai di sana pada jam 11.30 pagi (waktu tempatan). Waktu Malaysia awal 1 jam sama seperti Indonesia juga. Perjalanan mengambil masa 2 jam 10 minit.

Nha Trang sememangnya terkenal mempunyai pantai yang cantik dan air laut yang jernih. Sebelum mendarat, kami saksikan dari atas pesawat keindahan laut Nha Trang dan pulau yang ada di sekitarnya.

Setibanya di Nha Trang kami dibawa makan tengahari di Restoran Muslim Karim milik orang Melayu Champa. Hanya ini sahaja satu-satunya Restoran Muslim yang ada di bandar Nha Trang. Itu pun hanya dibuka semata-mata memenuhi permintaan pelancong dari Malaysia. Nak datang “walk in” makan di sini memang tidak dibuka. Nasib baik menu sajian sedap dan menyelerakan.

Selesai makan tengahari, kami ambil peluang untuk Solat Jamak berjemaah di sini. Almaklum Nha Trang memang tiada masjid berbeza dengan di Ho Chi Minh.

Oleh kerana penerbangan balik kami melalui airport Nha Trang, maka seusai solat kami menuju ke Dalat dahulu. Kami dijadualkan bermalam di Dalat 2 malam dan Nha Trang 2 malam menjadikan Pakej ini 5 hari 4 malam.

Perjalanan dari Nha Trang ke Dalat sekitar 3-4 jam. Sempat juga kami singgah di beberapa tempat untuk tanda kawasan (buang air la). Perjalanan menuju ke Dalat menempuh kawasan berbukit dan semakin sampai ke Dalat suhu sudah semakin sejuk.

Hotel Queen Villa di Dalat tempat kami menginap

Tiba di Dalat

Dalat merupakan kawasan tanah tinggi pergunungan pada ketinggian 2000 meter dari aras laut. Suhu Dalat sememangnya sejuk sepanjang tahun antara 12 celcius hingga 18 celcius. Sebaik sampai di Dalat kami terus “check in” Hotel dahulu kerana hari sudah menjelang masuk waktu Maghrib.

Selepas mendapatkan bilik dan membersihkan diri dan Solat Jamak, kami keluar semula untuk makan malam di Restoran Fatimah.

Seusai makan malam kami dibawa bersiar-siar di pasar malam bandar Dalat. Tak lama pun sekitar 1 jam kami kembali semula ke Hotel untuk istirehat.

Hari ke2 di Dalat

Suhu di Dalat sememangnya sejuk. Malah tidur malam di Hotel tidak memerlukan aircond. Sememangnya pun tiada kemudahan aircond di Hotel ini. Kami mula keluar hotel seawal jam 7 pagi pada suhu pagi sekitar 12 Celcius.

Kami bersarapan pagi di Restoran Fatimah dahulu. Selepas itu kami dibawa melawat Taman Bunga yang berkeluasan 68 hektar. Jenuh nak jalan kaki menerokai tempat ni. Akhirnya kami naik buggy yang disediakan di dalam Taman Bunga ini.

Singgah satu tempat kami ambil gambar dan selepas itu kami pindah ke kawasan lain pula. Sememangnya Taman Bunga ini mempunyai pelbagai tanaman bunga yang cantik-cantik.

Masing-masing pun ambil peluang mengambil gambar berlatar belakang bunga-bunga mekar di Taman Bunga ini.

Oleh kerana ada banyak tempat lagi dalam jadual iternary di Dalat maka kami habiskan masa sekitar 1 jam sahaja di Taman Bunga ini.

Lambiang Hill

Destinasi kedua lawatan kami ialah ke “Lambiang Hill” yang mempunyai ketinggian 2167 meter dari aras laut iaitu puncak yang tertinggi di Dalat. Alkisah Lambiang ini mempunyai kisah lagenda yang tersendiri mengikut kata Tour Guide tetapi kami datang ni lebih berminat untuk menghayati keindahan alam.

Kami harus menaiki Jeep muatan 6 orang untuk sampai ke puncak Lambiang. Agak menyeronokkan juga naik jeep dari kawasan kaki bukit menuju ke puncak kerana kami dapat rasakan kesegaran udara angin pergunungan yang sejuk.

Setibanya di puncak kami dapat saksikan keindahan saujana mata memandang pemandangan Dalat dari atas puncak bukit. Ada banyak lokasi menarik yang disediakan untuk pengunjung mengambil gambar. Kami dapati ramai juga pengunjung tempatan yang datang menziarahi tempat ini.

Kami habiskan masa 1 jam juga di Lambiang Hill ini. Syukur alhamdulillah peserta rombongan amat menepati ketetapan masa yang diberikan. Turun dari Lambiang Hill kami dibawa membeli belah di kedai barangan makanan Kering Vietnam pula.

Old Railway Station

Selesai membeli belah sekitar 30 minit, kami dibawa menziarahi “Old Railway Station” pula. Stesen Keretapi Lama ini dibina pada tahun 1932 oleh arkitek Perancis dan dibuka pada tahun 1938. Stesen ini sudah tidak digunakan lagi semenjak Perang Vietnam dan kini dijadikan sebagai tempat pelancongan di Dalat.

Ada pelbagai barangan cenderamata yang dijual di kawasan ini dan menariknya saya terjumpa seorang artis yang menawarkan khidmat melukis potret. Sayangnya kerana batasan waktu saya tak sempat berlanggan dengannya kerana ketika itu beliau sedang menyiapkan lukisan seorang pelanggan.

Restoran Muslim Fatimah

Sekali lagi kami makan di Restoran Fatimah. Sebenarnya bandar Dalat tidak banyak Restoran Muslim. Dari awal sampai kami makan malam, selepas itu sarapan pagi dan kali ini makan tengahari juga di Restoran ini. Mujur menu sajian yang diberikan sedap dan memenuhi selera kami. Tak kisah la satu tempat makan sahaja, yang penting ianya dijamin Halal dan sedap pula.

Kereta Kabel di Robin Hill

Satu lagi tempat tumpuan pelancongan di Dalat ialah Kereta Kabel di Robin Hill. Kereta Kabel ini menghubungkan Robil Hill dengan Truc Lam Monastery yang dibina oleh syarikat dari Austria dan dibuka semenjak 2003.

Menaiki Kereta Kabel sejauh 2.3km ini membolehkan kita menyaksikan panorama pemandangan Dalat yang penuh dengan hutan pokok pine sepanjang perjalanan. Memang mengujakan.

Tetapi bagi yang lemah semangat tidak digalakkan naik Kereta Kabel ini kerana ia mempunyai ketinggian 2,267 meter dari aras laut dan kita dapat rasakan tiupan angin kencang yang masuk ke dalam Kereta Kabel ini.

Air Terjun Datanla

Satu lagi tarikan pelancongan di Dalat ialah Air Terjun Datanla. Untuk sampai ke air terjun ini kita mesti menaiki Roller yang disediakan dengan bayaran tertentu. Satu roller hanya boleh dinaiki oleh 2 orang yang sebenarnya dikawal oleh pihak yang berkenaan.

Oleh kerana laluan menuruni bukit roller ini ala-ala roller coster yang agak curam dan bengkang bengkok tidak semua ahli rombongan yang mengambil bahagian. Rasa seronok juga menaiki roller ini tetapi saya tak berani nak ambil gambar bimbang terjatuh pula handphone nanti.

Sebaik sampai di bawah kawasan air terjun Datanla ini, setiap pengunjung ditawarkan untuk membeli gambar yang sempat diambil mereka di beberapa sudut laluan dengan bayaran yang tidaklah mahal mana.

Kebun Tanaman Bunga dan Buah2an

Seusai aktiviti di Datanla Waterfall kami dibawa menziarahi Kebun Tanaman Bunga dan Buah2an milik pengusaha tempatan. Sememangnya iklim suhu yang sejuk dan tanah yang subur amat sesuai untuk penanaman bunga dan buah2an.

Kami dapati di kawasan Dalat ini banyak diusahakan penanaman bunga dan buah2an. Melihat kepada binaan rumah-rumah penduduk di sini boleh dikatakan penduduk Dalat terdiri dari orang yang berada dan tidak miskin.

Crazy House

Crazy House yang dibina oleh seorang arkitek Vietnam dianggap satu binaan rumah yang unik dan pelik. Mengejutkan ada juga ditawarkan bilik penginapan ala hotel di sini.

Melawat Crazy House ibarat memasuki satu rumah yang penuh dengan hasil karya seni yang cantik dan menakjubkan. Seolah berada dalam dunia fantasi. Sayangnya kunjugan kami ke sini masih ada lagi ruang yang belum siap sepenuhnya.

Kami tiba di sini ketika hari sudah petang dan menjelang senja. Oleh kerana sudah kepenatan hanya sebahagian dari kami yang meneroka seluruh kawasan Crazy House yang mempunyai 3 atau 4 tingkat ini.

Makan Malam di Restoran Kg Pandan

Seusai lawatan pada hari ke2 di Dalat kami dibawa makan malam seafood di Restoran Kg Pandan milik Hj Rahman seorang rakyat Malaysia berasal dari Pulau Pinang. Satu lagi cawangannya ada di Ho Chi Minh.

Rasa seronok apabila dapat bertemu dengan Hj Rahman pengusaha Restoran Kg Pandan ini. Beliau seorang yang ramah dan suka berjenaka. Sajian makanan di Restoran ini juga sedap dan menyelerakan. Seusai makan di sini kami kembali ke hotel untuk istirehat kerana keesokkannya kami harus meninggalkan Dalat menuju ke Nha Trang pula..

Sebelum meninggalkan Restoran Kg Pandan terlebih kami menempah makanan untuk Sarapan Pagi keesokkan hari. Makanan ini akan dibawa bersama dalam bas untuk kami bersarapan pagi di suatu kawasan tanah tinggi dalam perjalanan kami menuju ke Nha Trang.

Sempat Tour Guide share gambar tempat yang berkenaan menambahkan rasa teruja kami untuk ke sana keesokkan paginya.

bersambung…..kisah pengalaman hari ke3 dan ke4 pula insyaAllah

Leave a Reply