Assalamualaikum wb.

Dalam saya memikirkan apa bahan yang nak saya tulis dalam blog, tanpa disangka melalui entry terdahulu bertajuk  Soal Jawab Hukum Hakam Umrah , saya mendapat satu soalan yang amat baik dan amat patut untuk saya masukkan atau ulas dalam blog ini. Nak jawab dalam ruangan komen macam rasa tak seronok pula. Tambahan pula persoalan yang diutarakan sememangnya biasa berlaku kepada mana-mana jemaah Umrah.

Cuma saya sebenarnya bukanlah Pakar Rujuk dalam Ibadah Umrah. Namun saya berusaha untuk menjawab mana-mana soalan yang boleh dijawab dan jika ada kesalahan jawapan dari saya, mohon sesiapa yang Pakar boleh memberi komen. Semoga perkongsian ilmu yang sedikit ini dapat memberi manfaat sesama kita.

Soalan dari Pembaca yang memberi nama Umum Mira lebih kurang begini

Saya ingin pohon penjelasan.
Seorang yang sedang berihram, tanpa disedari tawafnya tidak sah. Kemudian dia bersaie, dan bergunting. Selepas itu, balik ke hotel, dia mandi, menyikat rambut, ada rambut yang gugur. Selepas itu, dia baru sedar yang tawafnya tidak sah.
Soalan saya, berapakah dam yang perlu dibayar? Adakah 3 ekor kambing untuk tindakan gugur rambut 3 kali (sewaktu gunting, sewaktu mandi dan menyikat rambut, atau memadai 1 ekor kaming untuk satu kesalahan menggugurkan rambut. Mohon pencerahan ustaz.

Kesalahan semasa melakukan Tawaf boleh terjadi kepada sesiapa sahaja samada jemaah lelaki atau wanita. Antara jenis kesalahan semasa Tawaf yang jemaah lakukan ialah memegang mana-mana bahagian dalam Kaabah semasa sedang melakukan Tawaf Umrah. Samada jemaah berkenaan terlupa atau memang tidak tahu

Dan sedihnya apabila kesalahan itu disedari selepas jemaah sudah bergunting atau bertahalul. Untuk menentu berapa banyak Dam yang dikenakan harus diteliti dahulu berapa banyak kesalahan dalam ihram yang dilakukan selepas menyedari Umrah yang dilakukan tidak sah.

Perlu juga diteliti Kesalahan yang dilakukan berlaku semasa Umrah yang Pertama atau Umrah yang Kedua atau Umrah terakhir semasa di Tanah Suci?

kaabah terkini

Jawapan 

Sekiranya kesalahan itu dilakukan oleh seorang wanita, maka kesalahan hanya melibatkan rambut yang gugur atau digunting. Tetapi jika kepada jemaah lelaki mungkin ada penambahan kesalahan seperti sudah memakai Pakaian yang berjahit dan lain-lain kesalahan dalam Ihram.

Jemaah Umrah yang berkenaan perlu bersegera menyempurnakan Tawaf yang tidak sempurna tadi, kemudian bersaie dan bergunting semula (bertahalul ) sebaik menyedari Tawaf yang dilakukan tadi belum sempurna. Jika terjadi kepada jemaah lelaki ia perlu bersegera menanggalkan pakaian berjahit dan memakai pakaian ihram semula, kemudian menyempurnakan Tawaf dan saie Umrah.

Sekiranya kesalahan itu dilakukan untuk Umrah yang pertama kemudian jemaah berkenaan ada melakukan Umrah selepas itu, maka perbuatan Umrah yang kedua tadi dikira sudah memadai untuk menampung kekurangan atau kesalahan pada Umrah yang sebelumnya.

 

Jenis Dam

Dam yang dikenakan hanyalah keatas rambut yang telah digunting dan rambut yang gugur semasa mandi atau semasa disikat. Dalam kes di atas jika kesalahan itu dilakukan sebanyak 3 kali atau lebih (mengunting untuk bertahalul, gugur rambut semasa mandi dan gugur rambut semasa menyikat), maka Dam yang dikira hanya untuk 1 kali kesalahan sahaja. Kecuali timbul kesalahan kedua atau seterusnya seperti memakai pakaian berjahit (selain dari rambut yang gugur tadi) maka baru dikira yang kedua dan seterusnya.

Dam yang dikenakan disebut Dam Takhyir iaitu dam yang boleh dipilih iaitu samada menyembelih seekor kambing atau memberi makan 6 orang fakir miskin atau berpuasa selama 3 hari. Dalam kes di atas walaupun rambut yang gugur 3 kali pada waktu yang berbeza ianya tetap dikira satu kesalahan sahaja  maka ia boleh pilih samada menyembelih 1 ekor kambing yang disempurnakan sembelihannya di Tanah Suci.

Atau memberi makan 6 orang fakir miskin. Makanan untuk 1 orang fakir miskin ialah 2 cupak atau pada kadar SR10. Maknanya sekali kesalahan dikira SR60 (SR10 x 6 orang).

Atau berpuasa 3 hari. Jemaah berkenaan dibolehkan untuk berpuasa di Tanah Air sekiranya kini berada di Tanah Air.

Kesalahan Pada Umrah Terakhir

Tetapi sekiranya kesalahan itu dilakukan pada Umrah yang terakhir di Makkah dan disedari hanya selepas jemaah berkenaan sudah kembali ke Malaysia (negara asal), maka cara untuk menampung Umrah yang tidak selesai tadi ialah dengan menyembelih 1 ekor kambing untuk kesalahan Umrah yang tidak sempurna dan menggunting rambutnya (Tahalul Ikhsar).

Di samping itu jika terdapat kesalahan yang dilakukan selepas menyedari Umrah itu tidak sempurna, maka harus diteliti berapa kali kesalahan yang boleh dikenakan Dam.

Saya berharap jawapan saya dapat menjawab kekusutan dari yang bertanya. Sekiranya pembaca yang arif merasakan jawapan saya tidak tepat amat dialu-alukan untuk pembetulan. Dan terima kasih kepada Saudara Razali Indra kerana telah memberikan komen yang bermanfaat. Semoga Allah melimpahi kebaikan ke atasnya.

Waallahuaklam,

21 Replies to “Soal Jawab Hukum Hakam Umrah – 2”

  1. assalamualaikum ustaz, saya ingin penjelasan yang boleh saya faham sebab saya pertama kali pergi umrah tahun ini,saya tidak yakin dengan keguguran rambut apabila berihram tolong ustaz jelas kan

    1. waalaikum salam. gugur rambut secara tidak sengaja seperti semasa tidur dimaaf. tetapi gugur rambut atas sebab perbuatan kita seperti menyikat rambut atau menggaru kepala sehingga rambut gugur ia dikenakan dam.

    2. waalaikum salam. keguguran rambut secara tidak sengaja seperti semasa tidur misalnya tidak mengapa dan tidak dikenakan dam. Yang dikenakan dam ialah apabila rambut gugur atas sebab perbuatan kita seperti menyikat rambut atau menggaru kepala dan sebagainya

  2. Assalamualaikum uztaz. jika rambut gugur sewaktu tidur dimaafkan, tapi dalam kes saya ni berbeza sikit. saya ada penyakit ekzema iaitu allergi kepada sesuatu. jadi anggota badan saya kerap rasa gatal termasuk kepala. saya akan garu seluruh badan termasuk kepala tanpa saya sedari (boleh dikatakan tidur mati). setiap pagi saya bangun tidur akan kelihatan beberapa helai rambut saya gugur disebabkan garu tadi. jadi jika keadaan begini adakan saya perlu membayar dam atau pon dikira tidak sengaja juga?

    1. waalaikum salam. Jika gugur rambut atas perbuatan yang disengajakan kena dam. Tetapi jika dalam tidur dan tidak sedar atau tidak sengaja ianya dimaaf..wallauallam

  3. assalamualaikum ustaz….soalan saya..sebelum saya mengerjakan tawaf widak, abg saya ada memberi sejumlah wang kepada saya, utk saya sedekah kepada org, wang sedekah tersebut adalah dari sahabat abg saya dan minta abg saya sedekahkan wang itu waktu di tanah suci..selepas saya mengerjakan tawaf widak baru saya teringat wang tersebut, dan saya sedekahkan wang tersebut selepas tawaf widak, adakah tawaf widak saya sah? atau saya kene bayar dam? kerana saya keluarkan wang sedekah pemberian abg saya utk tujuan sedekah dan amanah yang di beri…

    1. Waalaikum salam. Sekiranya semasa balik dari Tawaf Wada’ ketika menuju ke Hotel dalam perjalanan kita memberi sedekah tidak jadi satu kesalahan..maksudnya sambil berjalan pulang kita beri sedekah pada orang yang kita temui dalam perjalanan tetapi ia boleh dikira satu kesalahan sekiranya kita berjalan dan mencari-cari orang yang mahu diberi sedekah sehingga menyimpang dari laluan balik ke hotel, maka ia dikenakan dam..Wallahuallam.

  4. Salam ustaz… saya terlupa semasa dalam ihram,bulu kening telah tertanggal di sebabkan saya mengaru…adakah dikenakan dam? Sehelai yg tertanggal…

  5. Sye nak tnye. kalau kite x berniat nak buat umrah. X pakai kain ihram. Tapi di miqat terikut mutawif membaca niat. Adekah kite terikat dngn larangan umrah?

    1. Niat adalah kerja HATI..melafaz niat seperti dalam kursus umrah misalnya juga tidak dikira sebagai niat..dalam kes ini saudara sememangnya tidak berniat..hanya sekadar terikut ucapan mutawif..

  6. Ustaz nak tanya kalau kulit mati terkeluar kt muka masa kita dok meraba2 muka kena bayar dam.. lagi satu nak tanya. Sy dah ikat rambut. sy cari getah yg x kuat dan mengikat dgn perlahan supaya rambut tak gugur. Tp bila sy ungkai getah sy nampak rambut lekat kat getah.

  7. Assalamualaikum ustaz, sy terdapat sedikit keraguan di sini.. Berkenaan bulu di bahagian badan.. Adakah dikira kesalahan apabila sy memakai ihram dan selepas membuka pakaian ihram baru saya nampak yang terdapat bulu dr bahagian bdan yg gugur.. Mohon penjelas ustaz.. *Bulu badan termasuk dada, peha, betis dsb..

  8. saya nak tanya, kalau kita sentuh rambut dan gugur tapi tidak perasan, mcm mana ya ? dan kalau saya tidak pasti dan balik ke tanah air saya berpuasa 3 hari sebagai langkah berjaga jaga boleh ke ?

  9. Salam..sy musykil sedikit dan was2. Smasa buat umrah sy ad menggaru kepala..masa tu sy dalam keadaan memakai telekung..maksud garu diluar telekung la..rambut masih dalam telekung.selepas habis buat umrah balik hotel sy sedar banyak rambut gugur. Sy tak pasti rambut gugur sebab waktu sy menggatu atau memang gugur sendiri.dan rmbut sy jnis mudah gugur.soklan , adakah sy dikenakan dam utk kesalahan itu. 2) kalau kena dam kena bayar berapa?

  10. Assalamualaikum ustaz,saya nak tanya tentang dam. Kalau saya bersedekah kepada 6 orang pembersih masjid,setiap seorang 10 riyal. Saya sedekah duit bukan dengan cupak makanan, boleh ke? Saya bayar dam sbb telah mencabut rambut kerana tidak sengaja semasa dalam ihram.

  11. Salam ustaz.. Bagaimana jika semasa tawaf ternampak anak rambut?.. Perlu di ganti ke tawaf tersebut?.. Jika tidak di ganti bagaimana pula.

  12. Assallammualaikum,

    Saya telah pergi mengerjakan umrah beberapa tahun lepas. Saya sempat membuat 3 kali umrah pada masa tersebut. Jika saya merasa curiga semasa bergunting dalam umrah kedua, adakah umrah saya terbatal keseluruhanya atau umrah saya yang ketiga dapat menampung umrah saya yang kedua itu. Mohon penjelasan ustaz.
    .
    Terima kasih.

  13. Assallammualaikum,

    Saya telah pergi mengerjakan umrah beberapa tahun lepas. Saya sempat membuat 3 kali umrah pada masa tersebut. Jika saya merasa curiga semasa bergunting dalam umrah kedua, adakah umrah saya terbatal keseluruhanya atau umrah saya yang ketiga dapat menampung umrah saya yang kedua itu. Mohon penjelasan ustaz.
    .
    Terima kasih.

Leave a Reply