BATAM & KEPULAUAN RIAU (4 HARI 3 MALAM)

Assalamualaikum dan Selamat Berpuasa.

Kota Batam ialah sebuah pulau kecil dalam Kepulauan Riau yang terletak bersebelahan dengan Singapura di Selat Melaka. Batam merupakan sebuah bandar terbesar di Kepulauan Riau dengan jumlah penduduknya mencapai 1 juta orang lebih. Batam merupakan sebuah pulau yang maju sebagai kawasan industri perkilangan kerana lokasinya yang sangat strategik terletak di perairan antarabangsa antara Singapura dan Malaysia.

Jangan terkejut jika lihat Batam maju dan pesat sebagai kawasan industri dan amat berbeza dengan wilayah kota Indonesia yang lain. Jeti pelabuhan di Batam seperti kawasan bangunan bertaraf 5 bintang berbeza dengan Jeti Stulang Laut yang biasa je.

Berkunjung ke Pulau Batam tidak lengkap jika kita tidak menziarahi Pulau Bintan yang merupakan sebahagian dari Kepulauan Riau di Indonesia yang terkenal dengan kisah Laksamana Bintan atau Kisah Sultan Mahmud Mangkat dijulang dalam Hikayat Cerita Sejarah Melayu.

Manakala Pulau Penyengat yang lokasinya berhampiran dengan Tanjung Pinang pula merupakan destinasi pelancungan popular di Kepulauan Riau kerana mempunyai pantai yang cantik dan kaya dengan warisan budaya Melayu dan sejarah Kesultanan Johor Riau Lingga. Dan jangan terkejut bahasa pertuturan penduduk kampung di Pulau Penyengat sama lenggoknya dengan bahasa Melayu yang kita tuturkan di Malaysia.

Ada 2 cara untuk ke Pulau Batam iaitu samada ikut jalan udara naik flight atau naik bas dari Kuala Lumpur dan kemudiannya menaiki Ferry ke Batam samada dari Stulang Laut Johor Bharu atau dari Pasir Gudang. Lazimnya Ajwa Travel akan mengambil Ferry dari Jeti Stulang Laut untuk ke Pulau Batam pada jadual jam 9 pagi dan tiba di Batam pada jam 10 pagi (waktu Batam). Perjalanan dengan ferry mengambil masa 2 jam.

Ajwa Travel sudah beberapa kali menganjurkan Pakej ke Batam dan memilih tempoh 4 hari dan 3 malam supaya kita lebih puas menerokai Batam dan juga Kepulauan Riau. Ada juga yang 3 hari dan 2 malam bagi yang mahu lebih jimat.

Tempat Menarik di Batam yang kita kunjungi

Hari Pertama tiba di Batam, biasanya jemaah dibawa makan tengahari terlebih dahulu. Kemudiannya jemaah akan dibawa melawat Jambatan Barelang, Masjid Sultan Mahmud Riayat Shah dan Masjid Cheng Ho. Sebelum “check in” Hotel, jemaah akan dibawa makan malam dan ke kedai menjual ole-ole Batam.

Jambatan Barelang

Jambatan Barelang merupakan tempat wajib untuk dilawati. Jambatan Barelang iaitu singkatan dari (Batam, Rempang dan Galang) ialah sekumpulan jambatan yang menghubungkan pulau-pulau iaitu Batam, Pulau Tonton, Pulau Nipah, Pulau Rempang dan Pulau Galang. Ada juga masyarakat setempat menggelarnya Jambatan Habibie sebagai tanda penghargaan kepada Presiden Habibie atas jasa beliau membangunkan Jambatan ini dan memajukan Pulau Batam menjadikan pulau industri.

Kita boleh abadikan kenangan mengambil gambar pemandangan yang cantik berlatarbelakang Jambatan Barelang yang menghubungkan satu pulau ke pulau yang lain.

Masjid Sultan Mahmud Riayat Shah

Masjid ini mempunyai Kubah terbesar di Indonesia dan menjadi masjid terbesar di Pulau Batam.

Masjid terbesar ini mampu menampung jemaah seramai 25 ribu dalam satu masa, mempunyai menara tertinggi 99 meter dan yang lebih menarik ia mempunyai 8 tiang payung kembang seperti Masjid Nabawi di Madinah.

Masjid Cheng Ho

Masjid Laksamana Muhammad Cheng Ho yang berwarna merah ini siap dibina pada tahun 2015 yang lepas oleh seorang Pengusaha Batam sebagai satu tanda kenangan dan penghargaan bahawasanya Laksamana Cheng Ho pernah datang ke Kepulauan Riau ini.

Masjid ini dibina di kawasan Golden City Bengkong, kota Batam Kepulauan Riau dan menjadi objek pelancongan bagi pengunjung yang datang ke Batam. Bentuknya banyak mengambil pengaruh seni bina China, Islam dan Indonesia.

Hari ke-2 di Batam.

Perjalanan Itinenary Hari ke2, saya sifatkan lebih kepada menyusuri sejarah silam peradaban budaya Melayu di Nusantara. Bahawasanya Kepulauan Riau dahulunya merupakan Jajahan Kesultanan Melayu yang kini terpisah bertitik tolak dari Perjanjian Inggeris Belanda 1864 yang silam.

Seawal pagi selepas Sarapan Pagi, jemaah akan dibawa ke Tanjung Uban menaiki Speed Boat untuk sessi lawatan seterusnya. Lawatan pertama ialah melawat Gurun Pasir dan Tasik Biru.

Gurun Pasir Bintan ini bukanlah gurun pasir semulajadi. Asalnya kawasan ini menjadi tempat mengangkut pasir untuk dieksport ke Singapura menjadi pasir tambak. Akan tetapi pihak pemerintah kini telah menghentikan aktiviti angkut pasir untuk tujuan eksport dan membiarkan kawasan ini terbiar begitu sahaja.

Akhirnya tempat ini menjadikan kawasan tarikan pelancung kerana keindahannya. Keunikan Gurun Pasir Bintan ini terletak pada timbunan-timbunan pasir yang terbentuk secara semulajadi membentuk rupa seakan-akan gurun pasir di Timur Tengah.

Pengunjung boleh duduk santai di atas bukit-bukit kecil merasakan sensasi angin bertiup seolah berada di tengah padang pasir.

Tasik Biru

Terletak di kawasan Gurun Pasir Bintan. Air tasik yang berwarna biru dilihat begitu cantik sekali. Tak pasti bagaimana air tasik ini boleh berwarna biru…kemungkinan disebabkan oleh batuan yang ada di dasar tasik.

Ada juga khidmat menaiki bot di Tasik Biru ini dengan dikenakan sedikit bayaran.

Yang nak ambil gambar dengan Burung Hantu juga ada.

Selepas menziarahi Gurun Pasir dan Tasik Biru, jemaah akan dibawa makan tengahari di Restoran Tempatan dan Solat Jamak Takdim di masjid yang berhampiran.

Aktiviti selepas itu ialah menuju ke Pulau Penyengat dengan menaiki bot kayu. Sesampai di Pulau Penyengat, saya terjumpa banyak gerai yang menjual Tanjak yang cantik-cantik pada harga yang murah. Timbul semangat kemelayuan bila saya pakai tanjak yang dibeli…..ha….ha….tanggal topi Cap sekejap.

Kita akan menjumpai Masjid Raya Sultan Riau yang berwarna putih dan di dalamnya ada tersimpan khazanah al-Quran lama tulisan tangan. Sempat juga berbual dengan petugas Masjid ini yang gaya pertuturannya persis seperti orang Melayu kita…hilang langsung loghat Indonesianya. Terasa seperti berada di tempat sendiri pula.

Jemaah akan menaiki beca bermotor untuk melawat Makam-makam diraja yang terdapat di sini seperti Makam Raja Haji Fisabilillah, Makam Raja Ali dan beberapa makam yang lain.

Jemaah juga boleh melawat Balai Adat dan berpeluang bergambar dengan Pakaian Pengantin Tradisi masyarakat Melayu di sini, jika mahu.

Seusai lawatan di Pulau Penyengat, jemaah akan kembali semula ke Batam dengan menaiki Ferry. Dan selepas itu terus dibawa makan malam di Restoran Tempatan sebelum kembali semula ke Hotel Penginapa

bersambung…….

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top